TAJUK : PERKEMBANGAN AGAMA ISLAM
MELALUI AKIDAH
STRATEGI RASULULLAH
MENYAMPAIKAN VISI
.jpg)


Nabi Muhammad s.a.w. mula melaksanakan visi pertama Baginda
untuk megajak manusia menyembah Allah s.w.t. dan meninggalkan penyembahan
berhala. Visi Rasullullah s.a.w. dikongsi oleh beberapa orang sahabat pada
ketika itu secara rahsia. Cara ini dilakukan bagi mengelak tindakan buruk orang
Quraisy yang begitu fanatik terhadap berhala-berhala ciptaan mereka sendiri.
Rasullullah ialah seorang pemimpin yang berstrategi apabila menyampaikan
visinya ini secara berperingkat, iaitu terlebih dahulu kepada ahli keluarga
terdekat, yang mahu menerima dan mempercayai ajarannya itu. Antara mereka ialah
isteri Baginda, Khadijah binti Khuwailid, sepupu Baginda Ali bin Abi Talib,
kemudiannya, Zaid bin Harithah, Abu Bakar bin Abu Quhafah, Uthman bin Affan,
Zubair bin Awwam, Abdurrahman bin Auf, dan Saad bin Abi Waqash.
Konsep usrah juga diperkenalkan oleh Rasullullah s.a.w. dalam menyampaikan
visinya. Ketika orang yang memeluk Islam melebihi tiga puluh orang lelaki dan
perempuan, Rasullullah s.a.w. memilih rumah salah seorang daripada mereka,
iaitu rumah Arqam bin Abi al-Arqam, sebagai tempat pertama mengadakan sesi
usrah, untuk pembinaan diri dan pengajaran.
Nabi Muhammad s.a.w. bukan sahaja memiliki visi yang jelas, tetapi berkongsi
visinya itu bersama para sahabat melallui cara hidup Baginda dan sistem
pendidikan tidak formal yang mantap, sehinggalah mereka memahami, menghayati,
menjiwai dan seterusnya berazam mengaplikasikan visi tersebut.
Kesan daripada penghayatan dan pengamalan ini dapat kita lihat melalui
ujian-ujian yang dihadapi para sahabat ketika berhadapan dengan pemimpin
Quraisy yang mengetahui keislaman mereka.
Bilal bin Rabah contohnya, ialah seorang hamba berkulit hitam kepada
Umayyah bin Khalaf. Umayyah merupakan salah seorang musuh ketat Nabi Muhammad
s.a.w. Setelah mengetahui bahawa hambanya telah memeluk Islam, dia menyeksa
Bilal dengan membaringkannya di atas padang pasir yang panas dalam keadaan
tidak berbaju.
Dia kemudiannya meletak batu besar yang panas di atas dada Bilal dan berkata:
“Aku tidak akan membebaskan engkau sehinggalah engkau mati seperti ini atau
menolak agama Muhammad dan kembali menyembah Lata dan Uzza!”
Walaupun menerima seksaan sebegitu hebat, Bilal menjawabnya hanya dengan
perkataan yang membuktikan kukuhnya imannya iaitu: “Ahad! Ahad! (Allah itu Maha
Esa).”
Orang ramai begitu kagum terhadap kegigihan hamba yang hitam ini. Seorang
pendeta Arab, yang sedih melihat keadaan Bilal, telah berkata kepada Umayyah:
“Demi Allah, jika kamu membunuhnya dalam keadaan demikian, aku akan jadikan
kuburnya tempat keramat untuk dikunjungi oleh para penziarah.”
Mendengar kata-kata itu, Umayyah bertindak lebih ganas dengan mengikat tali di
leher Bilal dan diheret di atas jalan yang sangat panas.
Selain Bilal bin Rabah r.a., Ammar bin Yasir dan kedua-dua ibu bapanya juga
menerima ujian yang berat dari Allah s.w.t. Mereka memeluk Islam ketika Nabi
Muhammad s.a.w. memilih rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam sebagai pusat dakwah
Islam. Etika kaum Musyrik mengetahui mereka sudah menganut agama Islam,
penyembah-penyembah berhala itu tidak berhenti menyeksa dan menganiaya mereka.
Walaupun seksaan itu sangat berat, Ammar sekeluarga tetap dengan pegangan dan
iman mereka terhadap Allah s.w.t., sehinggalah bapanya Yasir dan ibunya
Sumayyah dibunuh, yakni gugur syahid dalam menegakkan kalimah Allah
s.w.t.
Kisah-kisah ini adalah lambang kejayaan Rasulullah s.a.w. kerana baginda
membentuk para sahabat bertunjangkan akidah yang mantap. Kejayaan ini adalah
hasil visi ketuhanan yang dijiwai oleh Baginda disamping kemampuan Baginda
untuk berkongsi visi besar itu dengan para sahabat.
Kesimpulannya kita dapat mengetahui bahawa visi utama Rasullullah s.a.w. adalah
menghambakan dan mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.